Sunday, 7 May 2017

GAYA HIDUP SIHAT

DIET SEIMBANG UNTUK SIHAT SEPANJANG HAYAT

Ramai orang yang mengalami masalah kesihatan sama ada kronik mahupun tidak. Kebanyakan orang sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang banyak semata-mata untuk kekal sihat. Sebenarnya, terdapat banyak amalan ataupun aktiviti yang boleh dilakukan untuk kekal sihat tanpa memerlukan kos yang banyak. Antara amalan yang boleh mengekalkan kesihatan adalah dengan mengamalkan diet yang seimbang. Kesihatan seseorang individu bermula dari cara pemakanannya. Berikut merupakan beberapa kaedah diet yang sihat:

1. Banyakkan Minum Air



Orang dewasa memerlukan sekurang-kurangnya 2-3 liter air masak setiap hari. Air boleh mengawal suhu badan dan membantu mengeluarkan toksin yang boleh mengganggu metabolisma badan. Seseorang akan menjadi lebih lebih sihat jika mengambil air yang cukup setiap hari.

Selain itu, air juga boleh memperbaiki atau mencantikkan kulit dan wajah seseorang, membantu buah pinggang, mengawal selera dan memberikan tenaga kepada badan manusia.

Bagi mengekalkan kesihatan, pengambilan minuman yang tidak sihat seperti minuman berkarbonat perlu dikurangkan kerana minuman seperti ini mempunyai jumlah kalori dan gula yang sangat tinggi.

2. Makan Sarapan Setiap Pagi



Sarapan sangat penting untuk membekalkan tenaga pada tubuh badan manusia sebagai persedian untuk memulakan kerja. Antara makanan yang baik dimakan sewaktu sarapan ialah roti, oat, telur, susu, teh dan buah-buahan kerana makanan ini mampu membekalkan nutrisi dan tenaga. Kajian menunjukkan bahawa orang yang tidak bersarapan lebih cenderung untuk makan banyak ketika makan tengah hari.

3. Makan Mengikut Keperluan Nutrisi



Menu harian hendaklah seimbang sesuai dengan keperluan nutrisi manusia. Tidak ada manfaat sekiranya hanya mengambil daging dalam pemakanan dan mengabaikan sayuran ataupun serat. Makanan yang diambil hendaklah seimbang agar badan mendapat semua nutrisi dan khasiat yang diperlukan untuk berfungsi dengan baik. Antara kombinasi makanan yang baik ialah mengambil daging berserta sayur-sayuran atau salad. Buah-buahan baik dijadikan sebagai pencuci mulut. Pengambilan lemak yang baik seperti yang terdapat pada ikan salmon dan tuna, avokado, kekacang dan minyak zaitun juga boleh membantu mengekalkan kesihatan.

4. Makan Mengikut Masa



Pemakanan yang terbaik adalah yang mengikut masa yang betul. Seseorang individu harus mendisiplinkan diri untuk makan mengikut jadual. Sebagai contoh, masa untuk sarapan adalah 6.30-7.30 pagi, makan tengah hari pada 1.00-2.00 tengah hari dan makan malam pada 6 petang hingga 8 malam. Badan manusia memerlukan masa sekurang-kurangnya 2 hingga 3 jam untuk mencerna makanan. Oleh itu, adalah lebih baik untuk mengambil makan malam 3 jam awal atau lebih sebelum tidur bagi memastikan makanan telah dicerna sepenuhnya. Tidur dalam keadaan kenyang adalah tidak baik untuk kesihatan tubuh badan. Selain itu, pengambilan makanan ringan haruslah dikawal kerana ia boleh menyebabkan badan mendapat kalori yang berlebihan. 

No comments:

Post a Comment